Adakah Perancangan Keluarga dibenarkan dalam Islam?
Oleh Jamaal Zarabozo
Soal perancangan keluarga dan mengawal kelahiran dibincangkan dengan terperinci oleh Akademi Fiqh Islam. Mereka mempunyai dua puluh tiga ulama yang mengkaji topik dan membentangkan kajian mereka tentang isu ini. Di kalangan mereka adalah Muhammad Ali al-Baar, Ali al-Saaloos, Muhammad Saeed Ramadhan al-Booti, Abdullah al-Basaam, Hasan Hathoot and Muhammad Sayid Tantaawi.
Prosiding, kertas kerja dan perbincangan mereka boleh didapati dalam Bahagian Pertama, Jilid Kelima, Majalah Akademi Fiqh Islam (1988/1409 H). Prosiding setebal 748 mukasurat ini semuanya mengenai persoalan mengawal kelahiran dan isu-isu berkaitan.
Berikut adalah fakta penting berkenaan isu mengawal kelahiran dalam Islam. Ianya dinyatakan oleh ulama yang disebutkan tadi;
Institusi perkahwinan dan keinginan mempunyai anak adalah sifat yang terbaik bagi setiap makhluk termasuk para Rasul & Nabi yang dipilih ALLAH. ALLAH berfirman tentang mereka,
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً
“Dan Sesungguhnya kami Telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.”
-Surah ar-Ra’d, 38-
Sebaik-baik contoh bagi orang yang beriman adalah teladan Nabi Muhammad s.a.w., yang berkahwin dan mempunyai anak-anak. Para Nabi & Rasul adalah insan yang perlu diikut oleh semua Muslim. ALLAH berfirman,
أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهِ
“Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh ALLAH, maka ikutilah petunjuk mereka”
-Surah al-An`am, 90-
Para Rasul yang sepatutnya dicontohi dan bukannya orang Barat yang tidak beriman, yang mana gaya hidup mereka hampir keseluruhannya hanya berkisar tentang berseronok dalam hidup dan mendapat harta dunia sebanyak mungkin. Maka mereka tidak menggalakkan wanita mempunyai ramai anak.
Islam telah melarang hidup membujang, mengamalkan prinsip sami (tidak berkahwin) atau pun kasi (pemandulan kekal dengan membuang testis atau zakar) untuk tujuan itu. Baginda s.a.w. telahpun menjelaskan hal ini kepada sabahat yang berkira-kira untuk hidup seperti sami atau paderi. Baginda bersabda;
“Aku solat dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa, dan aku mengahwiniwanita. Barangsiapa yang berpaling dari cara hidupku (Sunnah), mereka bukan dariku”
Rasul ALLAH s.a.w. bukan hanya menggalakkan perkahwinan, tapi menyuruh berkahwin perempuan yang subur untuk meramaikan anak. Baginda bersabda;
“Kahwinilah (wanita) yang penyayang dan subur kerana aku akan mempunyai umat yang paling ramai berbanding rasul lain di Hari Kebangkitan nanti.”
-Hadith Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban-
Menurut pandangan Islam, anak-anak adalah anugerah dan rahmat dari ALLAH. ALLAH telah menyatakan beberapa kelebihan yang telah DIA anugerahkan kepada manusia melalui ayat berikut;
وَاللّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ (72) سورة النحل
“ALLAH menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat ALLAH?”
-Surah An-Nahl, 72-
ALLAH juga berfirman,
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا (46) سورة الكهف
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”
-Surah Al-Kahfi, 46-
Hanya ALLAH Pemberi Rezeki sebenar-benarnya kepada semua insan. Jika orang Muslim mengikuti apa yang telah ALLAH aturkan kepada mereka, ALLAH akan menyediakan kecukupan untuk mereka. ALLAH telah memberi amaran tentang membunuh anak sesiapapun lantaran takutkan kemiskinan samaada kepada ibubapa atau anak itu. ALLAH berfirman;
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ (151) سورة الأنعام
“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, KAMI akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka”
-Surah al-An’am, 151-
ALLAH juga menegaskan;
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم إنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْءًا كَبِيرًا (31) سورة الإسراء
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. KAMI-lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”
-Surah al-Isra’, 31-
Maka, Muslim tidak dibenarkan menggugurkan atau membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Ia terserah kepada ALLAH untuk memperuntukkan rezeki kepada mereka.
Berdasarkan hujah-hujah di atas, ulama’ yang menyertai penyelidikan berkaitan soalan ini merumuskan resolusi berikut;
Tidak dibenarkan untuk mewartakan undang-undang umum yang mengehadkan kebebasan pasangan untuk mempunyai ramai anak.
Adalah dilarang untuk ‘secara kekal’ menghentikan keupayaan lelaki atau wanita untuk menghasilkan zuriat seperti hysterectomy (buang rahim) atau vasectomy (buang testis), selagi mana tiada keadaan yang memerlukan menurut kerangka Syariat Islam
Adalah dibenarkan untuk mengawal waktu kelahiran dengan niat menjarakkan kehamilan atau menangguhnya kepada waktu tertentu, jika terdapat keperluan Syariah dengan mendapat pandangan, nasihat dan persetujuan bersama di antara pasangan.
Walaubagaimanapun, ia mestilah dilakukan tanpa membawa sebarang kemudaratan dengan kaedah yang dilulus Syara’, dan tanpa melakukan apa-apa yang merencat kehamilan semasa yang wujud.
Sumber : http://www.themodernreligion.com
http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/13/hukum-perancangan-keluarga/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan