Sabtu, 15 Jun 2013

Pengguguran Kandungan

Proses keguguran merupakan penyingkiran atau pengeluaran embrio atau fetus dari rahim ibu. Ianya boleh berlaku secara spontan dan di dalam kebanyakan kes di mana ianya berlaku secara spontan adalah disebabkan oleh keabnormalan dari segi struktur atau kromosom janin yang dikandung.

Manakala perkataan ‘pengguguran’ itu sendiri membawa kepada makna perbuatan yang disengajakan. Pengguguran boleh dilakukan atas alasan terapeutik seperti menyelamatkan nyawa ibu yang mengandung, atau kecacatan pada janin yang tidak memungkinkan kehidupan. Manakala, pengguguran yang dilakukan tanpa  alasan kukuh merupakan gejala yang mengundang pelbagai kontroversi dan aspek perdebatan dari sudut etika, agama dan moral. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 40-50 juta wanita di seluruh dunia menggugurkan kandungannya setiap tahun atau dalam ertikata yang lain 125,000 kandungan digugurkan setiap hari. Di USA, 20% dari wanita yang hamil akan menggugurkan kandungannya dengan statistik lebih dari 3000 pengguguran setiap hari. Tidak ada keseragaman dari segi undang-undang terhadap isu pengguguran ini. Ada negara yang membenarkan ianya dilakukan secara legal manakala ada negara yang tidak membenarkannya dan tidak kurang pula di mana tiada apa-apa undang yang diwartakan terhadap isu ini.

Islam memandang mulia pada setiap kehidupan dari detik ianya dijadikan dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara kehidupan atau hayat itu. Firman Allah swt
” Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”
Surah Al Isra ayat 31

”Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar”.                         
Surah Al Isra’ ayat 33


Status hayat embrio dan pengguguran

Dari sudut embriologinya, persenyawaan akan terjadi setelah berlakunya pertemuan antara benih wanita/ovum dengan benih lelaki/sperma. Percantuman ini akan menghasilkan embrio yang terus berkembang dan menambahkan gandaan selnya. Setelah lebih kurang 7 hari percantuman, embrio yang terhasil ini atau dikenali pada tahap ini sebagai blastocyst/alaqah akan tertanam/implantasi di dalam dinding rahim. Embrio pada tahap ini mempunyai potensi kehidupan kerana ia boleh melekat di dinding rahim dan berkembang. Blastocyst ini akan mengalami proses pembezaan untuk membentuk organ-organ dan sistem-sistem dalam badan janin. Pada minggu ke 7 kehamilan (35 hari dari persenyawaan) organ jantung telah mula berfungsi dan hayat ini dapat dilihat menggunakan teknologi ultrasound. Sistem muskuloskeletal yang merangkumi tulang dan otot akan mulai terbentuk dan berfungsi sehingga gerakan-gerakan janin akan dapat dilihat menerusi ultrasound pada minggu ke 9 kehamilan (49 hari dari persenyawaan). Embrio ini akan terus berkembang dan sistem-sistem dalam badan akan terus membesar dan mengalami proses pengelokan sehingga akhirnya setelah pengembaraan selama 9 bulan di alam rahim, seorang manusia akan dilahirkan.

Al Quran telah menceritakan satu persatu secara terpeinci ilmu embriologi menerusi Firman Allah swt dalam Surah Al Mukminun

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan nuftah dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci lah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat. Al Mu’minun : 12 – 16

Bilakah sebenarnya permulaan kehidupan? Adakah selepas persenyawaan? Adakah selepas implantasi? Adakah selepas terbentuknya organ-organ dan ditiupkan ruh? Atau adakah selepas bayi itu lahir? Ulama berbeza pendapat tentang status permulaan hayat justeru itu terdapat perbezaan pendapat dari segi hukum pengguguran.
Hadith daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim.
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Huthaifah Ibn Usaid; saya mendengar Rasullullah bersabda ” Selepas 40 atau 45 hari air mani berada di dalam rahim, malaikat dikirimkan kepadanya…”
Terdapat perbezaan pendapat dari segi bila waktu ruh ditiupkan. Ilmu tentang itu adalah rahsia Allah swt. Namun, ulama’ sepakat menyatakan haram digugurkan setelah ditiupkan ruh bahkan perbuatan itu dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan. Walaubagaimanapun terdapat perbezaan pendapat tentang pengguguran sebelum ditiupkan ruh, namun pada kebanyakan pendapat ianya adalah haram. Kehidupan perlulah dihormati samada sebelum atau selepas ruh ditiupkan
Imam Al Ghazali mengatakan bahawa janin tetap dihormati sebagai sesuatu yang berpotensi untuk hidup walaupun belum mempunyai ruh kerana janin berupaya untuk berkembang kearah pembentukan seorang bayi. Maka memusnahkannya iaitu dengan menggugurkannya termasuk dalam perbuatan memusnahkan sesuatu yang bermanfaat, iaitu haram hukumnya. Perlindungan yang diberikan oleh Syarak terhadap kandungan sebelum ianya bernyawa akan berkembang selari dengan perkembangan kandungan itu sendiri.  Semakin bertambah umur kandungan itu semakin besar pulalah kesalahan menggugurkannya. Kata Abu bakr al-Arabi, sesuai dengan konsep berkenaan “ Anak (yang terkandung dalam mani seorang lelaki ) itu ada tiga kategori. Pertama: Benar-benar belum terjadi. Dalam keadaan ini ia boleh dihapuskan dengan `azl (membuang mani di luar faraj), dimana hukum nya harus. Kedua: Sesudah melekat di dinding rahim. Dalam keadaan seperti itu tidak harus bagi sesiapa untuk menghapuskannya. Ketiga: Setelah bersifat tetapi belum bernyawa. Dalam keadaan ini pengharaman menggugurkanya jauh lebih besar dari dalam dua keadaan di atas. Lalu apabila ia sudah bernyawa maka penggugurannya jelas sekali merupakan perbuatan membunuh tanpa khilaf di kalangan para fuqaha.(Fath al-Ula:1/400).
Kata Ibnu Juzi ,bila mani sudah melekat di dinding rahim ia tidak lagi boleh diganggu. Lebih teruk lagi apabila ia sudah bersifat. Malah apabila ia sudah bernyawa perbuatan menggugurkannya itu jelas merupakan pembunuhan manusia tanpa khilaf di kalangan para fuqaha. (Al-Qawanin al-Fiqhiyah:141).
Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ulama’kontemporari memberikan pendiriannya dalam bukunya yang terkenal ” The lawful and the Prohibited in Islam” iaitu sementara Islam mebenarkan perancangan keluarga, ianya menghalang sebarang bentuk keganasan terhadap kehamilan yang telah terjadi.
Oleh kerana itu bolehlah disimpulkan bahawa pengguguran kandungan adalah perbuatan haram tanpa membezakan dalam peringkat mana pun ia berada, kecuali ia dilakukan atas asas keperluan yang diiktiraf oleh Syarak.


Pengguguran yang dibenarkan syarak
Nyawa ibu terancam
Pengguguran hanya dibenarkan di dalam Islam jika ternyata kehamilan itu akan menyebabkan kesihatan ibu terjejas dengan teruk dan mengancam nyawanya. Fakta ini mestilah disahkan oleh pakar yang berkredabiliti dan menguasai bidang ini. Dalam bidang perubatan biasanya 2 orang pakar akan mengesahkan keadaan ini dan keperluan untuk menggugurkan kandungan.
Dalam Islam, prinsip yang diguna pakai adalah al-ahamm wa’l muhiman; mengambil kemudaratan yang kecil dari dua kemudaratan. Nyawa ibu sebagai tonggak institusi keluarga adalah diutamakan berbanding dengan bayi yang dikandungnya. Dalam kes sebegini pengguguran dibenarkan jika terbukti mengancam nyawa ibu.
Terdapat banyak contoh di mana pengguguran terpaksa dilakukan demi nyawa ibu; misalnya penyakit jantung cyanotik; penyakit kanser yang dikesan di awal kehamilan seperti kanser payudara, kanser servik, kanser paru-paru yang memerlukan rawatan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi; penyakit buah pinggang yang teruk yang mana kehamilan akan menjejaskan lagi fungsi buah pinggang. Banyak lagi penyakit-penyakit yang dirujuk untuk pengguguran tetapi asanya adalah perkara ini perlu disahkan oleh dua orang doktor yang arif dalam bidang ini dan tinggi nilai etika dan moralnya.

Pengguguran disebabkan kecacatan

Terdapat beberapa ujian prenatal seperti ujian ultrasound, ujian darah pada bayi yang dikandung yang boleh mengesan secara teliti keabnormalan pada bayi tersebut. Bagaimana jika ujian –ujian yang dilakukan ini menunjukkkan janin mengalami kecacatan yang teruk yang tidak memungkinkan kehidupan atau kecacatan yang teruk yang tidak dapat diubati? Contohnya penyakit anaecephaly di mana janin yang dikandung tidak mempunyai tempurung kepala yang lengkap dan bayi akan mati tidak lama selepas dilahirkan. Adakah Islam membenarkan pengguguran dalam keadaan seperti ini?

Satu pertemuan antara ilmuan Islam di ‘12th Islamic Fiqh Committee of the Muslim World League’ yang diadakan di Makkah pada 15 Rajab 1410 (10/2/1990) mengeluarkan satu fatwa yang membenarkan pengguguran bagi janin yang telah disahkan mengalami kecacatan yang teruk dan berusia kurang dari 120 hari kehamilan. Pengesahan ini perlulah dibuat oleh doktor yang dipercayai dari segi ilmu dan moralnya. Tetapi seandainya pengesanan kecacatan ini dilakukan selepas 120 hari, maka pengguguran tidak dibenarkan kecuali jika kehamilan itu akan memudaratkan nyawa ibu.

Bagaimana dengan kecacatan yang lain dimana kehidupan boleh diteruskan walaupun dengan kepayahan; misalnya kecacatan kromosom seperti Down Syndrome yang dapat dikesan pada waktu prenatal; kecacatan fizikal seperti kecacatan pada system jantung, buah pinggang, system saraf dan lain-lain lagi yang boleh hidup selepas lahir? Islam tidak membenarkan pengguguran dalam keadaan seperti ini. Allah mempunyai sebab terhadap kejadiannya dan Allah lebih mengetahui akan sesuatu. Bahkan bayi yang lahir itu akan menjadi ujian pada keluarganya dan menjadi pahala atas kesabaran mereka menjaganya.

Pengguguran mangsa rogol
Secara prinsipnya, wanita yang dirogol adalah tidak bersalah dan mereka sebenarnya adalah mangsa perogol iaitu lelaki jahil. Bagaimana jika mereka mengandung hasil dari kejadian rogol tersebut; adakah mereka dibenarkan untuk menggugurkan kandungan tersebut? Ulama terkenal Sheikh Yusof Al Qardawi telah mengeluarkan satu fatwa berikutan ramai wanita Bosnia yang menjadi mangsa rogol tentera Serbia dan mengandung hasil dari perlakuan rogol tersebut.
Rogol adalah perbuatan tanpa rela. Ianya pasti merupakan bebanan yang amat kuat terutamanya apabila mengandung anak kepada pergol yang pasti dibenci. Namun, mereka yang bersabar di atas kejadian yang menimpa akan diberi ganjaran oleh Allah swt di atas kesabaran, kepayahan dan kesukaran. Anak yang dikandung adalah bersih dari segala dosa dan perlulah dihormati dan dipelihara. Justeru itu secara prinsipnya pengguguran tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun jika kehamilan itu menyebabkan tekanan mental yang teruk sehingga boleh menjejaskan nyawa ibu dan perkara ini disahkan oleh doktor yang merawat, ada pandangan yang membenarkan pengguguran dilakukan jika kandungan berusia kurang dari 40 hari dan setengah pendapat yang lain 120 hari.
Sheikh Yusof Al Qardawi berpandangan bahawa tidak ada salahnya wanita itu meneruskan kehamilan. Kisah wanita Ghamidi yang mengandungkan anak hasil dari perbuatan zina dan disuruh oleh Rasulullah meneruskan kandungannya sehingga lahir dan meneruskan penyusuan sehingga bayi tidak perlu disusukan lagi sebelum hukuman hudud dilaksanakan menjadi iktibar. Anak yang akan lahir adalah Muslim walaupun ayahnya seorang kufur kerana agama si anak menurut agama yang terbaik dari ibu atau ayahnya. Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Islam untuk memelihara kebajikan si anak dan tidak membebankan kewajipan ini kepada siibu yang telah bersusah payah mengandungkannya.
Walaubagaimanapun, kandungan yang terjadi hasil dari perbuatan zina adalah haram digugurkan. Banyak kes-kes di Malaysia yang dilabelkan sebagai ’rogol’ adalah sebenarnya perbuatan zina tetapi disebabkan ianya terjadi di bawah umur 18 tahun maka ia tertakluk kepada Akta Rogol Kanak-Kanak. Dalam keadaan seperti ini ianya tidak boleh digugurkan.



Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, teknologi yang ada pada masa kini telah memahamkan kita dengan lebih baik tentang proses penciptaan manusia. Sehubungan dengan itu fatwa berkaitan pengguguran yang dikemukan oleh ulama kontemporari banyak mengambilkira fakta saintifik tersebut. Secara prinsip, setiap pengamal perubatan perlu sensitif terhadap isu ini. Kehidupan mestilah dihormati dari sejak ianya diciptakan dan tidak sewenang-wenangnya ia dimusnahkan tanpa sebarang alasan yang diperakui syarak.

Disediakan oleh

Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah


sumber : http://imedik.org/2013/02/pengguguran-kandungan/

Tiada ulasan: