Sabtu, 15 Jun 2013

MEMELIHARA NIKMAT TELINGA

MEMELIHARA NIKMAT TELINGA
Putera Unggal
Revolusi Dakwah

PENDENGARAN merupakan pancaindera penting bagi kehidupan manusia. Tanpa telinga, manusia akan menjadi tuli atau pekak. Deria pendengaran lebih afdhal daripada deria penglihatan kerana banyak faedah pendengaran itu adalah bagi kegunaan di akhirat kelak. Berbeza dengan penglihatan yang lebih banyak faedahnya untuk kegunaan di dunia yang fana ini. Sebagai perbangingan, orang buta boleh bercakap secara sempurna lantaran mampu mendengar dan memahami pertuturan. Sebaliknya orang pekak mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan terpaksa menggunakan bahasa isyarat.
Allah swt menjadikan telinga sebagai alat untuk mendengar, memahami pertuturan dan memudahkan berbicara sesama manusia. Telinga juga berperanan sebagai alat untuk mengenali bahawa atau perkara yang mendatangkan keburukan. Lebih utama lagi, telinga digunakan untuk mendengar ayat-ayat suci Al-Qur'an dan Hadith RasulALLAH saw serta ceramah di mejlis-mejlis ilmu yang bermanfaat.
Sesungguhnya kita wajib mensyukuri nikmat pendengaran yang dikurniakan Allah swt ini. Bayangkan jika tiada nikmat pendengaran, tentu kita akan merasa dunia ini sunyi sepi dan kosong walau pun pada hakikatnya tidak. Sudah pastilah kita tidak akan dapat menikmati kesempurnaan hidup sebagaimana yang diharapkan.
Bagi mensyukuri nikmat telinga yang diberikan oleh Allah swt, wajiblah kita menjauhi pendengaran dari segala perkara yang dilarang-NYA. Janganlah digunakan telinga untuk berbuat dosa, umpamanya mendengar fitnah, umpat keji, adu domba, pembohongan, berbantah-bantah dan sebagainya. Begitu juga, jauhilah mendengar perkara perkara yang mengajak ke arah kemungkaran, maksiat dan perkara yang boleh melalaikan.
Ada ketikanya kita terasa sukar untuk mengelakkan diri daripada berdepan dengan permasalahan berhubung dengan perkara ini. Dalam urusan hidup seharian, kita sering terperangkap dalam keadaan tertentu, iaitu kita rasa tidak mampu mengawal pendengaran dari perkara munkar. Lantaran itu, berusahalah sedaya upaya di samping berdoa kehadrat Allah swt supaya memelihara pendengaran dari perkataan yang keji dan sia sia serta bebas dari bersekutu dengan perkara perkara dosa.
Setiap tutur kata, sama seperti makanan ynag membawa mudharat atau manfaat. Ada yang menjadi penawar atau sebaliknya banyak pula yang menjadi racun. Tutur perkataan yang jatuh ke dalam hati selalunya akan melekat dan berkekalan seumur hidup. Ia akan membawa kepada kebaikan atau kebinasan besar. Lantaran itu,orang yang beriman mestilah memelihara perkataan serta pendengarannya secara bersungguh-sungguh.
Sesungguhnya pendengaran, pertuturan , penglihatan, dan segala bicara hati kita akan dipersoal di akhirat kelak. Jagailah nikmat telinga yang dikurniakan Allah kepada kita dan moga-moga kita tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa...

Tiada ulasan: