Sabtu, 15 Jun 2013

Poligami?

Poligami (Lelaki mengahwini lebih daripada satu) adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Hukum Poligami (Ta’addudi al-Zaujat)  menurut jumhur ulama adalah mubah (boleh). Berikut ayat al-Quran yang membahas tentang hal ini, Allah  Subhanhu wa Taala berfirman: 

“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kalian nikahi budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”  [TMQ an-Nisaa’ (4):3]

Ayat ini diturunkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam pada tahun kelapan hijriyah. Ayat ini pada dasarnya ditujukan untuk membatasi jumlah maksimum isteri kepada empat orang saja. Sebelum ayat ini diturunkan, jumlah isteri bagi seorang  lelaki tidak ada batasnya. Apabila dikaji dan difahami ayat ini, nampak jelas bahawa ayat ini diturunkan untuk membatasi jumlah isteri hingga hanya empat orang saja.

Kebolehan poligami tidak bergantung kepada adil, kerana adil bukanlah merupakan syarat poligami. Allah Subhanahu wa Taala telah menjelaskan dengan sangat jelas  tentang hal ini: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 3]

Ayat ini menunjukkan dengan jelas bolehnya poligami secara mutlak. Ayat itu telah selesai (sempurna) dan berdiri sendiri. Selanjutnya dimulai dengan ayat baru (kalaam musta’niif) dengan makna baru:

“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kalian nikahi budak-budak yang kamu miliki. [TMQ an-Nisaa’ (4): 3]

Potongan ayat dalam ayat ini bukanlah ayat persyaratan. Sebab, potongan ayat ini tidak bergabung dengan potongan ayat sebelumnya, tetapi sekadar kalam musta’nif (kalimat permulaan). Seandainya hal ini adalah ayat persyaratan, tentulah ayat tersebut akan berbunyi: Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua, tiga atau empat jika kalian dapat berlaku adil.

Namun, susunan ayat yang telah Allah turunkan seperti di atas menunjukkan dengan jelas, bahawa keadilan bukanlah syarat untuk menikahi lebih daripada seorang wanita. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum syariat yang berbeza dengan potongan ayat kedua. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum bolehnya berpoligami sebatas empat orang saja, sedangkan potongan ayat kedua menunjukkan hukum lain, iaitu Allah lebih suka jika menikahi seorang sahaja jika dengan berpoligami itu akan menyebabkan suami tidak boleh   berlaku adil di antara mereka. 

Akan tetapi ayat kedua ini sama sekali tidak menafikan (meniadakan) pengertian ayat yang pertama. Jadi, dapat disimpulkan dengan jelas bahawa adil bukanlah syarat bagi poligami. Siapa pun yang menafsirkan bahawa keadilan merupakan syarat untuk berpoligami, bererti ia telah menafsirkan  al-Quran secara rambang dan telah menyimpang daripada penafsiran yang benar. Perlu diketahui juga  bahawa kerelaan isteri untuk dimadu bukanlah syarat dalam keharusan poligami.

Jadi, kalau memang lelaki itu serius untuk berkahwin lagi dengan anda, dia boleh melakukannya. Akan tetapi, banyak tanggungjawab yang harus dipenuhi, termasuklah tidak boleh mengabaikan isteri  pertamanya.

Perasaan Telanjur Sayang

Tentang perasaan anda yang terlalu sayangkan dia, sebenarnya perasaan itu perlu diperhatikan terlebih       dahulu. Perasaan sifatnya boleh berubah-ubah. Boleh jadi hari ini anda mencintai seseorang, tapi esoknya berubah menjadi benci. Perasaan juga bukanlah suatu hal yang harus dituruti, bahkan dalam kebanyakan keadaan perasaan harus dikawal, bahkan dilawan.

Bukankah Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;   Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [TMQ al- Baqarah (2):216]

Sesungguhnya yang paling mengetahui hakikat baik dan buruk hanyalah Allah semata-mata. Kita hanyalah makhluk yang harus taat kepada-Nya. Apa-apa sahaja yang menurut-Nya baik, maka itulah yang baik untuk kita dan apa-apa yang menurut-Nya buruk, maka itulah yang buruk untuk kita.

Bercinta adalah perbuatan yang  disukai oleh banyak orang, tetapi sesungguhnya bercinta itu adalah perbuatan yang buruk kerana bercinta itu haram. Jadi, jangan menuruti perasaan anda itu. Alihkanlah kepada hal-hal lain yang boleh membuatkan anda melupakannya. Sibukkanlah diri  dengan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat seperti melakukan hobi-hobi yang ilmiah (membaca ataupun menulis), bergaul dengan teman-teman yang lain, dan kegiatan-kegiatan lain yang anda sukai namun bermanfaat. 
 
Semoga anda mampu menyelesaikan masalah ini dengan segera. Yakinlah, semua masalah pasti ada              penyelesaiannya dalam Islam. Syariat Islam adalah ‘ubat’ daripada segala macam masalah manusia. yang tinggal cuma mahu “meminumnya” atau tidak.

Tiada ulasan: