Selasa, 11 Jun 2013

Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Disunting semula dengan membuang pengalaman penulis bersalin anak pertama.

Tarikh suntingan:  11 Jun 2013.

Harap Maklum.

**********************************


Seorang ibu mengalami pendarahan semasa hampir due date bersalin.  Ibu itu solat seperti biasa kerana ia dikira darah fasad (rosak) atau istihadah.  Darah itu cair dan berwarna merah terang.  Ia bukan keluar berterusan.  Bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama ketika hamil, hendaklah solat walaupun sudah ada tanda-tanda akan bersalin. 

Bagaimana pula dengan wanita yang mengalami pendarahan di tengah-tengah kehamilan?  Apakah hukum darah tersebut? Jom lihat serba sedikit huraian mengenai hal ehwal wanita bersalin.

Jenis Pendarahan Semasa Hamil

Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah.  Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak).

Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak.  Bagi mazhab Syafie,   dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.

 

Nifas dari Sudut Saintifik

Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar.  Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?

Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi.  Akhirnya kelahiran sempurna berlaku.  Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim.  Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua).   Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas.  Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.

Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium.  Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak.  Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.

diagram81

Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)

Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid.  Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.

Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil.  Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan.  Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan.   Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.

Darah Bercampur Lendir

Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan.  Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin.  Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.

Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah.  Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa.  Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.

Air Ketuban

Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi.  Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim.  Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi.  Subhanallah.  Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan.

فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).

Surah al-Mursalat 77:21

Demikian hebat kurniaan Allah.  Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?

Ayat 13 Surah al-Rahman.

Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran.  Allahuakbar!  Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Hukum air ketuban adalah najis.  Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.

Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar

Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat.   Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.

 

Nota:  Sebahagian isi mengenai Darah Semasa Hamil, Nifas dan Air Ketuban adalah dari buku Fikah Perubatan yang disediakan oleh Dr Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga, USMKK.

Ummu Abbas

9.20pm

21 Zul Qi’dah 1430H

Tiada ulasan: